Berdasarkan rekod sah United Sabah Bajau Organization (USBO), rumpun Bajau Sabah mempunyai 12 sub-etnik di Malaysia termasuklah Irranun, Sama, Suluk, Binadan (Bannaran), Ubian, Sama Delaut, Sibutu, Sikubung, Simunul, Samal, Yakan dan Jama Mapun (tidak pernah dipertikaikan).
Sebenarnya berdasarkan kajian rambang, didapati sub-etnik yang terdapat di negara kita adalah lebih dari rekod sedia ada, khasnya dari negara Filipina. Mereka ini dikenali sebagai Bajau Filipina, sama ada telah berjaya mendapatkan kerakyatan ‘songsang’ atau pun Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Bagi PATI, kedatangan mereka ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ di negeri Sabah. Atas kegigihan masyarakat Bajau Filipina ini yang memburu hidup di penjuru nasib menyebabkan timbul beberapa isu dan masalah sosial meluas di negeri Sabah.
Mereka begitu mendominasi pelbagai bidang perniagaan secara haram seperti menjual barang runcit termasuk rokok, syabu dan arak di pasar besar, kaki lima dan di mana sahaja ada ruang; dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan peniaga-peniaga Bajau Sabah.
Mereka turut merebut peluang pekerjaan walaupun gaji ditawarkan terlalu murah dan kerja berat yang tidak sanggup dilakukan oleh Bajau Sabah atas beberapa faktor seperti kos hidup yang tinggi dan maruah mereka berbanding tawaran gaji minima RM150 sebulan; apatah lagi ramai di antara Bajau Filipina bekerja di restoran Cina sehingga terpaksa memegang, memotong dan memasak daging khinzir.
Majoriti Bajau Filipina telah memiliki Mykad, IMM13 dan sebagainya, namun ramai di antara mereka memiliki dokumen palsu yang dikeluarkan sindiket tertentu dan mendapat suaka politik daripada parti pemerintah.
Generasi kedua dan seterusnya yang dilahirkan di Sabah menghadapi masalah identiti kerana gagal memiliki dokumen pengenalan diri disebabkan ketika mereka lahir, ibu bapa mereka masih memegang pasport atau tidak memiliki dokumen; sehingga status kewarganegaraan mereka tidak dapat ditentukan.
Nasib Bajau Filipina yang digelar ‘Warga Terapung’ ini semakin malang kerana tidak mendapat kemudahan yang diperolehi ibu atau bapa mereka yang memiliki Mykad daripada Skandal X-Files kerajaan; sehingga kebajikan mereka terabai.
Anak-anak mereka tidak layak mendapat taraf warganegara dan bukan ‘Anak Negeri’ kendatipun salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia dengan alasan ibu atau bapa atau kedua-duanya bukan warganegara pada masa kelahiran mereka.
Mengikut peraturan yang berkuatkuasa dan Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan kerakyatan diberikan apabila kelahiran salah seorang ibu atau bapa yang berasal daripada Sabah seperti dalam Perkara 14(1)(b) berdasarkan prinsip ‘Jus Soli’ yang dipinda pada September 1962; dan bukannya ‘Jus Sanguinis’ (berdasarkan darah) yang diamalkan di Filipina.
Ramai pihak keliru kerana pihak berkuasa memberikan taraf kerakyatan Malaysia kepada ibu bapa ‘Bajau Filipina’; tetapi mereka enggan memberi taraf kerakyatan kepada ‘dependen’ (keturunan) sehingga mendapat perhatian istimewa daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia banyak menerima aduan berkenaan kerakyatan anak-anak Bajau Filipina yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan walaupun ibu bapa yang pernah menjadi warga Filipina kini ditulenkan sebagai warganegara Malaysia.
Natijahnya anak-anak mereka menjadi mangsa ‘Rakyat Tanpa Negara’ dan tidak dapat menikmati hak sebagai warganegara atau erti kata lain hak asasi sebagai manusia tercabul dan terlucut tanpa belas kasihan.
Benarkah Kerajaan Negeri Sabah melindungi hak-hak Bumiputera atau Orang Asal Sabah? Persoalannya, siapakah Orang Asal atau Bumiputera Sabah?
Mengikut Bahagian 21A, Perkara 161A, 6 (b) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa;
(6) Dalam Perkara ini ‘bumiputera’ ertinya:-
(b) mengenai Sabah, seseorang warganegara dan ianya adalah anak atau cucu kepada seseorang dari suatu kaum asli Sabah dan telah lahir (sama ada atau tidak pada atau selepas Hari Malaysia) di Sabah atau bapanya, pada masa ia lahir itu, adalah berdomisil di Sabah.
Sebaliknya perkara 161A, 7 pula menjelaskan bahawa;
“Kaum-kaum yang akan disifatkan sebagai asli bagi Sarawak bagi maksud-maksud takrif ‘bumiputra’ dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lehanan, Punan, Tanjung dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit.”
Berbanding dengan Sabah, identiti Bumiputera atau etnik Anak Negeri tidak dinyatakan secara jelas sehingga menimbulkan masalah yang besar terhadap Orang Asal dan Anak Negeri Sabah kerana sebarang pihak boleh membuat tafsiran mereka sendiri; bergantung kepada pengaruh dan kuasa yang mereka ada; apatah lagi campurtangan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sehingga menenggelamkan peranan Mahkamah Anak Negeri Sabah.
Walaupun sudah 47 tahun merdeka, namun rakyat Sabah ‘tidak pernah menyediakan payung sebelum hujan’ kerana Perkara 161A, 6 (b) belum dipinda untuk memberi hak yang saksama kepada Orang Asal dan Anak Negeri Sabah sejajar dengan Perkara 161A, 7 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, mengikut Defination Of Native Ordinance Cap.64 of The Law of Sabah kelihatan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tapi tetap diterima pakai sehingga kini.
Dalam Ordinan tersebut jelas menyatakan pengertian ‘Anak Negeri’ seperti berikut:-
“Any person who is ordinarily resident in Sabah, is a member of a people indigenous to the Republic of Indonesia or Sulu Group of Island in The Philippine Archipelago or the state of Malaya or The Republic of Singapore, has lived as and been a member of a native community for a continuous period for five yearsimmediately preceding the date of his claim to be a native, has borne a good character throughout that period and whose stay in Sabah not limited under any of the provisions of the Immigration Act, 1959/63 [Sec.2(1)(d)]”
‘Native Community’ means any group or body or persons the majority of whom are natives within the meaning of paragraph (a) of Sub Section (1) and who live under the provisions of the Rural Government Ordinance or of a Native Chief or Headman appointed under the provision of the ordinance [Sec.2 (2)(b)]
Walaupun terdapat percanggahan ketara dari segi kerakyatan, hak-hak bumiputera dan Anak Negeri Sabah, namun segala jenis undang-undang yang digunapakai dan berkuat kuasa di negara kita; Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi sejajar dengan Fasal (1), perkara 4 Perlembagaan Persekutuan iaitu;
“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatalsetakat yang berlawanan itu.”
Kerajaan Negeri Sabah ibarat ‘menyusukan kera di rimba, sedangkan anak di pangkuan mati kehausan’ kerana gagal membawa usul hak-hak Anak Negeri dan bumiputera Sabah bagi diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Najitahnya, hak sebagai Bajau Sabah semakin terhakis andai Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi hak asasi dan kedaulatan mereka.
Mengikut Laporan Tahunan Suhakam 2009, Jabatan Imigresen Sabah telah mengeluarkan sebanyak 186,176 pas dalam pelbagai sektor dan mendaftarkan seramai 175,283 orang pendatang tanpa izin sehingga 30 Jun 2009 menjadikan jumlah seramai 361,459 orang pendatang asing di Sabah dan kesemuanya menjadi pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Sehubungan itu, timbul pelbagai isu sosial yang semakin sarat dan meluas di negeri Sabah seperti jenayah sindiket pengedaran dadah, rampasan tanah adat Sabah, kanak-kanak jalanan, pelacuran, pemerdagangan orang, penyeludupan barang-barang dan bermacam-macam-macam lagi.
Kerajaan asyik mengeluarkan perbelanjaan yang agak tinggi untuk mengatasi masalah sosial yang melanda negeri Sabah dengan mewujudkan pelbagai program pencegahan dan program pemulihan secara berterusan; termasuk membina lebih banyak Pusat Tahanan Sementara (Rumah Merah), namun gagal menyelesaikan isu pokok yang menjadi keluhan rakyat Sabah.
Persoalannya ialah sampai bilakah negara kita terus membelanjakan wang kepada Bajau Filipina tanpa nilai pulangan yang berfaedah, sedangkan Bajau Sabah terpinggir sehingga Bajau Sabah berfikir untuk mengalih sokongan kepada pembangkang yang menjanjikan kebebasan bersuara dan hak asasi mereka yang terpinggir selama ini?
No comments:
Post a Comment