Apabila disebut kerepek ubi, kita dengan sendirinya membayangkan kepingan nipis ubi kayu berbentuk bujur dan bersaiz gelang getah yang rangup dimakan. Kerepek ubi dengan pelbagai perasa masin, manis dan pedas itu biasanya mengambil bentuk ubi kayu yang dihiris nipis sebelum digoreng atau dikeringkan.
Kepingan nipis atau kerepek ubi kayu itu sudah begitu dikenali di pasaran sehingga begitu mudah didapati dan dibeli di mana-mana pusat beli-belah. Kaedah pembungkusannya juga begitu menarik dan setanding dengan snek ubi keluaran luar negara.
Bagaimanapun, snek ubi kayu bersalut gula merah keluaran Tawau agak berlainan dan unik berbanding snek ubi kayu biasa kerana selain berbeza dari segi rasa, ia juga berbeza dari segi cara pembuatan, malah saiznya.
Kerepek ubi kayu Tawau ini dibuat daripada ubi kayu yang diparut. Ia berbentuk segi empat bersaiz 20cm X 25cm (saiz kertas A4) serta setebal kira-kira 0.4 milimeter.
Kerepek ubi kayu Tawau ini rangup dan rasanya agak manis kerana permukaannya disalut nipis dengan gula merah cair sebelum dimasukkan ke dalam plastik kedap udara untuk dipasarkan.
Jika anda berkesempatan ke Sabah, melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke daerah-daerah pantai timur seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, snek ubi buatan Tawau boleh dibeli dari gerai di tepi jalan raya sepanjang perjalanan.
No comments:
Post a Comment