penaja utama

UTAMA





SABAH AKAN HARAMKAN PLUMBUM?


KERAJAAN Negeri Sabah berkemungkinan akan mengikuti langkah negeri Perak yang mengharamkan ‘Plumbum’ jika mendapati dasar dan perundangan yang diguna pakai di Perak serasi dengan Sabah.

Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, ketika dihubungi Sabahkini.net berkata pihaknya masih dalam peringkat kajian dan telah mengambil langkah berjaga-jaga ekoran penggunaan meluas bateri asid plumbum di sekolah rendah luar bandar Sabah.

“Kita sedang meneliti dasar dan perundangan yang digunapakai di Perak bagi menentukan sama ada perundangan yang serupa boleh dilaksanakan di Sabah,” ujar Masidi yang begitu mengambil berat isu pencemaran alam sekitar yang semakin serius, sekalipun agak mula terkawal di Sabah.

Sebagai permulaan, kata Masidi, kementeriannya telah mengadakan Bengkel/Seminar mengenai masalah dan langkah-langkah menangani sisa elektronik (E-Waste) pada tahun lepas.

“Sebagai langkah susulan, pegawai-pegawai di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS-Sabah) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS-Persekutuan) sedang meneliti perundangan yang sedia ada dengan mengambil kira rumusan Seminar E-Waste di Kota Kinabalu tahun lalu.

Kata Masidi, mereka juga telah diarah pergi ke Perak untuk melihat sendiri pelaksanaan undang-undang yang digubal di negeri itu.

“Kesimpulan dan penemuan-penemuan ini akan dijadikan asas untuk mencadangkan peraturan-peraturan yang serupa di negeri ini,” ujar Masidi yang meyakini bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan mengikut langkah Perak apabila kajian akhir selesai dalam waktu terdekat.

Masidi bagaimanapun berkata, buat masa ini pihaknya bekerja rapat dengan JAS untuk menjalankan kajian rapi dan mengambil tindakan susulan berhubung laporan Sabahkini.net sejak kebelakangan ini.

“Bidang penguatkuasaan di bawah jurisdiksi JAS, jadi kita hanya membantu demi kepentingan rakyat Sabah,” ujar Masidi yang tidak ingin menyentuh modus operandi penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling yang begitu longgar di Sabah.

Mengikut kajian Sabahkini.net, Sabah menjadi pusat lambakan bateri asid plumbum daripada Bekalan Elektrik Solar dan Solar Hibrid Luar Bandar serta menara telekomunikasi sejak 1980-an, namun 58,000 metrik tan sisa plumbum dibuang ke laut dan ditanam ke dalam tanah sehingga menimbulkan impak kepada alam sekitar dan ekosistem.

Kajian Pusat Racun Negara dengan Kerjasama Yayasan Sabah terhadap Kanak-Kanak Tadika di Pantai Barat Sabah, termasuk Ranau pada 1996 mendapati kandungan logam berat plumbum dalam darah kanak-kanak berkenaan begitu tinggi sehingga boleh menyebabkan pelbagai radang, penyakit dan boleh mengakibatkan cacat mental dan fizikal serta boleh membawa maut.


Masalah Parkir Bot Di Pulau Sebatik


TAWAU, 2 Mac (Bernama) -- Kampung Bergosong di Pulau Sebatik yang didiami kira-kira 400 penduduk dikatakan menghadapi masalah untuk melabuh bot di jeti sungai mereka.

Terdapat rangka bot lama dan rosak termasuk yang tenggelam dan terbenam ke dalam lumpur yang sudah lama terbiar.

Keadaan diburukkan dengan kehadiran bot-bot besar yang mengangkut buah kelapa sawit dari Pulau Sebatik ke kilang-kilang di tanah besar Tawau.

"Disebabkan longgokan rangka-rangka bot lama tidak dialihkan, tempat meletak bot menjadi terhad sehingga bot kami diletakkan berasak-asak di kawasan jeti yang sempit.

"Apabila air laut surut, kami sukar untuk keluar ke bandar Tawau kerana terhalang oleh bot-bot lain. Bayangkan kalau ada kecemasan misalnya untuk membawa orang sakit ke hospital," kata Ali Mahapat, 50.

Beliau berkata masalah tersebut sudah lama berlaku dan disampaikan kepada pihak berkenaan, tetapi tiada sebarang langkah susulan dilakukan.

Abdul Idris, 51, berkata sering timbul kemarahan di kalangan pemilik bot kerana merebut tempat melabuh bot.

"Sudah banyak kes bot rosak kerana bergesel, berlanggar atau dilanggar lari oleh pemilik bot lain. Bot saya sendiri sudah dua kali rosak dilanggar lari," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Bergosong Besar, Halih Abdul Kadir berkata perkara itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan merupakan isu besar kepada penduduk setempat.

"Kami sudah mengajukan perkara ini kepada wakil rakyat dan perkara ini sedang diatasi," katanya.

Beliau turut berkata kesesakan parkir bot dijangka berkurangan menjelang bulai Julai ini apabila kilang kelapa sawit milik swasta beroperasi di Pulau Sebatik.

"Apabila kilang itu beroperasi, penduduk tidak perlu lagi membawa kelapa sawit mereka dengan bot ke Tawau dan ini boleh mengurangkan penggunaan bot di jeti Bergosong," katanya.

-- BERNAMA





Kampung Bergosong Tubuh Pasukan Bomba Sukarela


TAWAU, 27 Feb (Bernama) -- Kampung Bergosong di Pulau Sebatik menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela untuk memberi perkhidmatan kepada kira-kira 400 penduduknya jika berlaku kecemasan.

Pengerusi penaja Pasukan Bomba Sukarela Kampung Bergosong Ali Pahapat berkata penubuhan pasukan itu telah lama dinantikan penduduk memandangkan kedudukan pulau berkenaan jauh dari tanah besar Tawau.

"Penubuhan pasukan ini memang satu keperluan. Jika berlaku kebakaran atau kemalangan di laut, anggota pasukan boleh memberi bantuan segera sementara menunggu pasukan bomba dari bandar Tawau tiba," katanya di sini Ahad.

Ali berkata demikian kepada Bernama selepas beliau dan 57 penduduk yang menyerahkan borang permohonan menyertai pasukan itu, mendengar taklimat mengenai penubuhan dan peranan pasukan bomba sukarela di Kampung Bergosong.

Taklimat yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Abdul Muis Picho itu disampaikan Timbalan Penguasa Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau Mohd Zahar Abdullah.

Sementara itu, Abdul Muis berkata semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pulau Sebatik telah lama diminta mengadakan perjumpaan untuk menubuhkan pasukan bomba sukarela.

"Kawasan kita ini (Pulau Sebatik) memang jauh dari kawasan bandar. Jika berlaku kecemasan, memang sukar untuk pasukan bomba untuk sampai di sini kerana perlu merentasi laut," katanya.

-- BERNAMA









Anak Jati Tawau Dilantik Pengarah FAMA Sabah


KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Anak jati Tawau, Ribin Wahid mencipta sejarah sebagai anak kelahiran Sabah pertama dilantik Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah berkuat kuasa Selasa.

Ribin, 47, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat, menggantikan Ibrahim Mahmood yang dilantik mengetuai FAMA Pahang.

Ribin pernah berkhidmat di pejabat FAMA Sabah selama 23 tahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah FAMA negeri Melaka pada 1 Feb 2007.

"Kita mengalu-alukan pelantikan anak jati Sabah sebagai pengarah FAMA yang baru dan kita juga berterima kasih atas jasa dan khidmat cemerlang Ibrahim," kata Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan perpisahan Ibrahim di pejabatnya di Wisma Pertanian Sabah, dekat sini pada Selasa.

FAMA yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 30 Sept 1965 berperanan sebagai agensi pemasaran yang meliputi tugas menyelia, menyelaras, mengawal selia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian Malaysia termasuk pengimportan dan pengeksportan.

-- BERNAMA